KUALA LUMPUR, 15 Sept - Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pendekatan-pendekatan baru - dilihat sebagai “pembaharuan politik” yang bakal memfokus pada soal keselamatan dan undang-undang media malam ini - untuk menyuntik “nafas baru” ke atas pentadbirannya berusia 29 bulan susulan kritikan banyak pihak dan populariti pula terus menyusut.
Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan secara langsung pada pukul 8.45 malam sempena sambutan Hari Malaysia esok.
Mesyuarat mingguan Kabinet semalam memutuskan bahawa Najib perlu memaklumkan rakyat Malaysia mengenai pembaharuan yang beliau laksanakan berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa undang-undang media berkaitan dengan media.
“Perdana Menteri menghalusi ucapannya dan ia merangkumi sejumlah pembaharuan yang beliau katakan ketika mengambil alih jawatan (ketua kerajaan) pada 2009,” kata seorang pegawai kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Beberapa menteri Kabinet mengesahkan bahawa Najib akan membuat pengumuman besar sebagaimana dimaklumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim malam tadi tetapi enggan mendedahkan perkara yang hendak disentuh.
“Hanya beberapa menteri Kabinet dirunding dan kesemua telah mengangkat sumpah rahsia,” kata salah seorang daripada mereka kepada The Malaysian Insider, sambil menambah Najib memberitahu mereka agar mengharapkan pengumuman yang baik.
Seorang lagi menteri berkata, Najib memberitahu Kabinet bahawa beliau akan membuat satu keputusan istimewa tetapi tidak menjelaskan pada mesyuarat mingguan semalam.
The Malaysian Insider difahamkan ucapan Najib malam ini akan menjadi loncatan kepada persiapan kerajaannya menghadapi pilihan raya umum tergempar, dijangka November ini.
Pada Isnin lalu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Najib kemungkinan akan memansuhkan ISA seawal minggu ini kerana beliau menghadapi momentum baru menjelang pilihan raya umum.
Najib yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009 dengan janji akan mengkaji semula undang-undang keselamatan tetapi berhadapan dengan kritikan pelbagai pihak ekoran dasarnya yang sering kali tidak konsisten sedang mempertimbangkan pemansuhan undang-undang yang membolehkan penahanan tanpa bicara.
Meskipun wujud halangan dari dalam kerajaan sendiri, difahamkan penasihat-penasihat Najib telah memberitahu Perdana Menteri bahawa beliau perlu membuat tindakan drastik untuk memenangi sokongan golongan pertengahan dalam pilihan raya umum.
Sejak beberapa hari lalu, idea memansuhkan ISA dibawa oleh laporan media asing seperti Straits Times Singapura dan agensi berita Reuters.
“Usaha ini bertujuan mencari keseimbangan yang baik antara kebebasan awam dan keselamatan nasional, yang menjadi janji utama kerajaan dan adalah penting ini dilakaukan sebelum pilihan raya umum,” kata satu sumber kepada Reuters Selasa lalu.
Isnin lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Najib sewajarnya melewatkan pilihan raya umum.
Kajian terbaru Merdeka Center menunjkkan populariti Najib merosot terus sejak Mei 2010 khususnya dikaitkan dengan kes cara pihak berkuasa menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu.
Editor: Jahabar Sadiq
No comments:
Post a Comment
1. Sila bertukar kpd transformer sebelum komen.
2. Komen sepedas mungkin.
3. Sampaikan walau SATU ayat.