Buang sampah ikut kategori

Bila sahaja disebut rumah terbuka, pasti hasil buangan yang dijana banyak termasuklah yang boleh dikitar semula atau tidak.

Tidak diketahui sama ada pembaca ruangan ini sedar atau tidak mengenai penguatkuasaan sistem pengasingan sampah mengikut jenis dan kategori bahan buangan yang dilakukan kerajaan bermula 1 September lepas.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menguatkuasakan sistem pengasingan sampah di semua premis kediaman selepas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 diluluskan.

Sistem pengasingan ini bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam diurus dengan teratur, bersepadu dan sistematik.

Buat permulaan, sistem ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dalam masa dua tahun supaya orang ramai boleh membiasakan diri.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, selepas dua tahun, denda akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengasingkan buangan mengikut kategori.

Memang sepatutnya ia bermula dari rumah namun tempat-tempat awam juga perlu dilengkapi dengan tong-tong sampah yang berbeza mengikut kategori.

Ini membolehkan orang ramai membiasakan diri sama ada di kediaman mahupun di tempat awam dalam mengamalkan konsep kitar semula.

Jepun merupakan antara negara yang mengamalkan konsep ini di mana-mana. Dan ia berjaya diterapkan kepada rakyat mereka dan kini menjadi amalan.

Malah, penulis juga pernah melihat seorang rakyat negara matahari terbit itu menyimpan cawan minuman kertas di dalam poket ketika di dalam komuter dan setibanya di destinasi, dia terus mencari tong sampah yang dikhususkan untuk kertas.

Ini merupakan perkara yang baru di Malaysia dan penulis merasakan dua tahun merupakan masa yang amat cukup untuk mendidik masyarakat.

Namun tanpa promosi dan pemberitahuan sepanjang masa, pasti ia akan tetap gagal sama seperti kempen kitar semula oleh kerajaan yang dilaungkan sejak bertahun-tahun lalu.

Alasannya mudah, segelintir rakyat negara ini masih lagi mempunyai minda dunia ketiga.

Sumber: Mohd. Hazli Hassan

No comments:

Post a Comment

1. Sila bertukar kpd transformer sebelum komen.
2. Komen sepedas mungkin.
3. Sampaikan walau SATU ayat.