Gong Badak dicemari sampah

KUALA TERENGGANU: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang mengambil jalan pintas menyebabkan jalan sekitar kawasan perindustrian Gong Badak di sini, menghala Kampung Bukit Berangan, Tepoh, tercemar dengan sampah sarap dan sisa bahan binaan.

Mereka yang ditemui memaklumkan, antara sebab utama masalah itu ialah kerana laluan sepanjang dua kilometer itu tidak mempunyai rumah penduduk.

Pekerja kilang, Suhaimi Mohamad, 28, berkata dia kesal dengan tindakan pihak yang sanggup mengkhianati masyarakat dengan mengotorkan kawasan sekitar kerana akibatnya laluan itu tercemar, malah boleh mengundang bahaya dan penyakit kepada orang ramai.
Beliau yang tinggal di Perumahan Gong Badak Tiga, di sini berkata, gejala pembuangan saampah di kawasan itu sudah lama dikesan dan bertambah buruk berikutan tiada tindakan pihak berkuasa tempatan.

"Kami terkilan dengan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjadikan laluan ini sebagai tempat pembuangan sampah kerana barangan yang dibuang, terutama sisa makanan menjadi busuk dan meloyakan selepas diselongkar haiwan liar.

"Justeru, kami harap pihak berkaitan membuat intipan bagi memberkas mereka pihak terbabit supaya kegiatan pembuangan sampah dihentikan," katanya yang berulang alik ke tempat kerja melalui jalan itu setiap hari.

Rakannya, Mustafa Mohd Ali, 34, berkata pembuangan sisa pembinaan paling banyak dilakukan kerana jauh daripada pandangan orang ramai dan sukar dikesan pihak berkuasa kerana laluan itu kurang trafik.

Katanya, walaupun laluan itu jauh daripada rumah penduduk, ia tidak seharusnya dijadikan tempat pembuangan sampah kerana dekat jalan raya, sekali gus menunjukkan pemikiran masyarakat kita yang tidak bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan persekitaran.

"Penguatkuasaan perlu diperhebatkan bagi menyedarkan masyarakat kepentingan menjaga kebersihan. Kita mesti mengubah pemikiran golongan ini supaya bertanggungjawab kepada alam sekitar dan tidak membuang sampah di mana saja.

"Golongan ini malas dan mengambil jalan mudah dengan menjadikan kawasan ini tempat pembuangan sampah mereka," katanya.

Sumber: Faizul Azlan Razak (Bharian Online)

No comments:

Post a Comment

1. Sila bertukar kpd transformer sebelum komen.
2. Komen sepedas mungkin.
3. Sampaikan walau SATU ayat.