Loji Kumbahan Bawah Tanah

By KUALA LUMPUR: Kawasan Lembah Pantai akan menyaksikan perubahan baru pada bentuk landskapnya menjelang 2017 dengan Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Bawah Tanah Pantai 2 yang pertama di negara ini dengan menerapkan aplikasi teknologi hijau sepenuhnya.

Ia membabitkan kerja menaik taraf loji kumbahan sedia ada serta infrastrukturnya dan dijangka mampu memproses hasil kumbahan 1.4 juta penduduk meliputi hampir semua kawasan Kuala Lumpur.

Apabila projek itu disiapkan kelak, kawasan lapang di atas loji bawah itu bakal menempatkan kemudahan seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, bola keranjang, tenis, sepak takraw, pusat komuniti dan trek dipenuhi landskap hijau.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata ia satu transformasi menyeluruh kawasan berkenaan dan dijangka menyelesaikan masalah bau kurang menyenangkan yang sering mengganggu penduduk kawasan terbabit.

"Projek menelan belanja RM983 juta dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun bermula 28 Julai lalu hingga 27 Julai 2017.

"Projek ini amat sesuai pembinaannya di kawasan bandar kerana tanah diatasnya akan dibina pelbagai kemudahan diperlukan itu," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kontrak projek berkenaan, di sini, semalam.
Turut hadir, Kaunselor Ekonomi dan Perdagangan Kedutaan Republik Rakyat Cina ke Malaysia, Xuan Guoxing; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar; Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan wakil kerajaan Perbandaran Rakyat Beijing, Zhang Honghai dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee.

Perjanjian Kontrak (Reka dan Bina) berkenaan antara Kerajaan Malaysia dengan Beijing Enterprises Water Group Limited (BEWG) bagi Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2.

Syarikat dari China itu diberi amanah menjalankan proses reka dan bina dan pelaksanaan dijalankan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dengan bantuan dua perunding.

Sumber: Nor Fariza Ramlan

No comments:

Post a Comment

1. Sila bertukar kpd transformer sebelum komen.
2. Komen sepedas mungkin.
3. Sampaikan walau SATU ayat.