Kempen 'Jumpa Sampah Kutip' di Kota Bharu gagal
KOTA BHARU: Menjelang 2015, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menyasarkan untuk mencapai status bandar raya, namun usaha ke arah itu belum terserlah terutama tahap kebersihan.
Masyarakat belum berpuas hati dengan tahap kebersihan bandar ini yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri, selain tumpuan pelancong tempatan serta asing.
Kempen ‘Jumpa Sampah Kutip’ yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak mendapat sambutan apabila orang ramai memandang remeh aspek kebersihan, malah membuang sampah di merata tempat terutama dalam longkang.
Ia menyebabkan kawasan sekitar Jalan Pintu Pong, Jalan Sultanah Zainab, Jalan Temenggong, Jalan Parit Dalam dan Jalan Lorong Che Su di bandar ini berbau.
Tinjauan Berita Harian mendapati longkang dipenuhi sisa pepejal yang menyukarkan air mengalir dan menyebabkan banjir kilat jika hujan lebat.
Pekerja swasta, Muslihah Mustapha, 24, berkata, beliau sering melihat pemilik bangunan membuang sampah ke longkang.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan longkang tersumbat dan berbau.
Pengusaha kedai emas, Mohamad Yusoff, 60, berharap MPKB mengambil tindakan terhadap pemilik premis atau orang awam yang membuang sampah di merata tempat.
"Pihak majlis perlu tegas mengenakan kompaun bagi mengajar warga bandar ini menjaga kebersihan,” katanya.
Peniaga, Rusdi Ibrahim, 32, berkata beliau membayar cukai pintu kepada MPKB sebanyak RM126 setahun, namun pihak berkuasa tempatan hanya membersihkan longkang kira-kira dua kali sebulan.
"Apabila longkang tersumbat, ia menyebabkan air bertakung yang menjadi tempat nyamuk aedes membiak dan ini membimbangkan saya kerana bandar Kota Bharu antara kawasan tinggi kes demam denggi,” katanya.
Sumber: Oleh Betty Subaryati (bhkb@bharian.com,my)
No comments:
Post a Comment
1. Sila bertukar kpd transformer sebelum komen.
2. Komen sepedas mungkin.
3. Sampaikan walau SATU ayat.