Tubuh pusat biodiversiti?

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Sebuah badan, Pusat Biodiversiti Antarabangsa (GBH) akan ditubuhkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan memantau pengurusan sumber laut di bawah kawasan Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

Penubuhan itu akan dilakukan bersama-sama dengan beberapa kementerian lain yang berkaitan.

Kerajaan pusat telah menyediakan peruntukan RM896 juta untuk mengelola pelbagai aktiviti berkaitan bagi menjana ekonomi serta pemeliharaan hidupan laut bermula 2010 hingga 2020.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, GBH akan disokong Kerajaan Negeri Sabah memandangkan negeri itu satu-satunya berada di bawah CTI yang turut dianggotai oleh Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Timor Leste.

"Kami menjangka aktiviti berkaitan hidupan luat di sini bakal menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM1.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 dan mewujudkan 2,900 peluang pekerjaan.

"Di mana 70 peratus aktiviti tersebut akan disumbangkan oleh sektor swasta," katanya pada majlis pembukaan Forum Perniagaan Wilayah CTI di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili dan perwakilan-perwakilan dari negara terlibat.

Jelasnya, kehidupan laut di bawah CTI mampu mendatangkan pendapatan bernilai sehingga AS$2.3 bilion (RM7.2 bilion) setahun kepada pelbagai sektor terutamanya perikanan dan pelancongan.

Malah, ujar beliau, hidupan batu karang di perairan wilayah tersebut merangkumi sehingga 75 peratus hidupan yang diketahui dalam sains maritim dan menjadi tempat persinggahan enam daripada tujuh spesies penyu di dunia.

Sementara itu, kata Maximus, GBH merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi industri perairan negara khususnya kepada negeri Sabah.

Forum yang berlangsung dua hari berakhir esok itu akan melibatkan pelbagai pembentangan mengenai sekuriti makanan, perubahan cuaca dan aktiviti perniagaan dari negara ahli dan jemputan.

No comments:

Post a Comment

1. Sila bertukar kpd transformer sebelum komen.
2. Komen sepedas mungkin.
3. Sampaikan walau SATU ayat.